Thursday, September 15, 2011

Jonah lagi ke??

Assalamu'alaikum..

Kali ni nak bercerita tentang kisah 'housemen' a.k.a pegawai perubatan latihan siswazah..almaklumla tengah mengalaminya sekarang..
1) Kalau anda adalah doktor, ataupun keluarga dan rakan taulan anda terdiri dari kalangan doktor, cuba tanya tentang perkataan Jonah.
2) Jonah kalau diikutkan dalam istilah kegunaan doktor dan jururawat nih ni adalah bagi menggambarkan sesuatu yang membawa "suwey" atau pun malang..
contohnya -
"waktu malam "oncall" ja, tiba2 banyak pesakit masuk, berlambak-lambak..waktu ramai doktor tadi tak ramai pulak pesakit yang masuk.. Jonah ke aku nih??" dan
"kalu aku 'oncall' dengan orang lain, tak banyak pun masuk pesakit baru..tapi kalau dengan mamat nih ja, memang pesakit akan masuk banyak..apesal la 'jonah' sangat mamat nih??"
3) korang boleh tangkap tak maksud perkataan jonah tuh?? korang kan pandai, mesti boleh dapat kan kalo setakat benda KBKK (kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis) macam nih??
4) semua orang kat dalam wad tu dok guna istilah jonah tuh, tapi tau tak macam mana istilah jonah tuh boleh muncul??
5) Setelah setanak nasi hamba bertapa (dah tua rupanya aku nih) dan setelah bertafakur dan berfikir, akhirnya terlintas jugak...sebenarnya kalau anda pernah melihat Bible dan menyelaknya, anda akan ternampak perkataan Jonah tuh.. Kalau ikutkan dalam kitab Al-Quran yang kita baca tiap2 hari, ianya adalah merujuk kepada Nabi Yunus alaihi salam..
6) Lepas tuh, bila teringat kisah Nabi Yunus nih, barulah paham sebab apa orang guna perkataan Jonah nih.  
7) Mungkin bagi orang yang mula2 menggunakan istilah Jonah ni menganggap Nabi Yunus adalah nabi yang malang. Dahla pengikut dan kaum dia tak mau dengar dakwah dia, lepas tuh bila naik kapal waktu kat tengah laut, ribut pulak, pastu dia kena terjun dari kapal tuh ke laut , tupun setelah tiga kali undian dibuat untuk memilih siapa yang patut terjun ke laut bagi mengurangkan muatan kapal [dalam kesemua undian,  Nabi Yunus yang terpilih], bila terjun dalam laut, kena telan ikan nun pulak. Dan macam2 lagi la. (Semua tu sebenarnya adalah perancangan Allah s.w.t yang nak uji Nabi Yunus) 
- sangat menarik jika anda tahu kisah nabi yunus nih!! nak cerita satu2 secara terperinci, takkan habis nih..hehe..nak tahu lebih lanjut, sila minta siapa2 yang tau kisah Nabi Yunus ni cerita kat korang..
8) "Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun Nun (gelaran bagi Nabi Yunus), ketika dia pergi (meniggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakan kesusahan atau cubaan; maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri." 

[Surah al-anbiya 21:87]
9) Kalau nak bercerita kisah nabi-nabi nih, memang takkan habis..seronok bila bercerita tentang sirah dulu2. Nanti kita sambung bila2 pulak tentang tuh..dipendekkan cerita, nabi yunus a.s sebenarnya bertuah sebab diangkat menjadi nabi memimpin umatnya. Siapa la kita nak berkata bukan2 apatah lagi benda yang buruk mengenai nabi2. 
10) Oleh itu, saudara-saudariku yang beragama Islam dan kristian, sedarlah!! Adakah anda mahu memperlekehkan Nabi Yunus @ Prophet Jonah ini??
Renung-renungkan, dan selamat beramal..

Saturday, September 3, 2011

ISU GEREJA, ZAKAT DAN MURTAD


MENANGISI MURTAD DAN ZAKATProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak. Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa ‘amat sederhana’. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi. Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.


Sedih
Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat. Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya. Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.
Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan. Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan ‘mesra dan sayang’. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.
Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya? Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat. Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.
Tangkap
Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja. Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.
Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat. Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu. Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi.
Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut. Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang. Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini. Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya. Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.
Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut ‘semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya’.
Semasa saya menziarahinya –tanpa notis awal- dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih. Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan. Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam. Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai Ph.D dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.
Salah Siapa?
Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan ‘dakwah’. Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.
Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan. Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita. Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.
Zakat
Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu billion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?
Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.
Jika program ‘Bersamamu’ boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat. Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan. Firman Allah (maksudnya):
“(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.( Surah al-Baqarah ayat 273)
Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan. Kata Saidina ‘Umar r.a.:
“Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah).
Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!
Sekadar berkongsi
Sumber dari: 
http://drmaza.com/home/

Al-fatihah buat wartawan Malaysia yang terkorban di Somalia


Arwah terkulai di bahu saya’

sumber -UTUSAN MALAYSIA (04/09/11)



ATAS: Noramfaizul Mohd. Nor yang cedera parah akibat terkena tembakan curi ketika detik cemas dibawa ke hospital di Mogadishu, Somalia, kelmarin.


KUALA LUMPUR 3 Sept. – Malang tidak berbau. Walaupun jarak perjalanan yang perlu ditempuhi oleh sebahagian petugas media dalam misi bantuan di Somalia sebelum diserang hendap semalam hanya tiga minit, namun tempoh itu tetap merupakan antara yang paling panjang yang pernah dilalui oleh jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan.
Ini kerana dalam perjalanan tiga minit itulah mereka ditembak sekurang-kurangnya dua kali dan salah satu daripadanya mengorbankan rakannya, jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, yang juga ketua pasukan media yang bertugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia.
Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan yang terkena tembakan curi ditenteramkan oleh wartawan ntv7, Melissa Ong dan Muhamad Solleh Ahmad Kamal di Mogadishu, Somalia, kelmarin. – BERNAMA


Menurut Aji Saregar, ketika kejadian, beliau dan Noramfaizul berada dalam kenderaan terakhir daripada tiga kenderaan yang bergerak dari hotel penginapan petugas media elektronik menuju ke hotel yang menempatkan petugas media cetak dan penulis blog.
“Sebelum memasuki pekarangan hotel itu dari hotel kami, saya terdengar bunyi tembakan dan sedar saya sendiri terkena tembakan di bahagian lengan kanan.
“Dalam kesakitan, saya memberitahu Noramfaizul bahawa kami diserang tetapi arwah tiba-tiba terkulai di bahu kanan saya. Saya dapat melihat bahu kanan arwah berlubang dan dia berada dalam kesakitan yang amat sangat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Aji Saregar menceritakan detik-detik cemas itu sebelum menaiki pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Mogadishu untuk pulang ke tanah air bersama jenazah Allahyarham Noramfaizul serta kesemua petugas media dan sukarelawan misi berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan itu (10.30 malam tadi waktu Malaysia), konvoi tiga kenderaan termasuk sebuah kenderaan tentera kerajaan Somalia ditembak oleh penyerang tidak dikenali kira-kira 200 meter sebelum memasuki hotel berkenaan.
Tembakan yang terkena bahu kanan Noramfaizul itu dilaporkan menembusi paru-parunya dan menyebabkan Allahyarham meninggal dunia ketika dirawat di hospital berdekatan kira-kira pukul 6.07 petang waktu tempatan sementara Aji Saregar hanya cedera di lengan.
Beginilah keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terkena tembakan curi sehingga mengakibatkan Noramfaizul Mohd. Nor maut manakala Aji Saregar Mazlan cedera. – BERNAMA