Tuesday, June 28, 2011

NAK JADI DOKTOR ATAU TIDAK?

Assalamu’alaikum dan salam sejahtera,


Ada satu hari tuh,  saya bersembang dengan beberapa orang pelajar perubatan. Soalannya berbunyi lebih kurang macam nih lah:
“Sebab apa awak nak jadi doktor?”
Pelajar A :  “Emmm..saya takut darah, tak minat jadi doktor tapi mak ayah suruh jadi doktor, ikut aje la”.
Pelajar B :  “Saya memang berminat nak jadi doktor sebab nak tolong orang ramai yang sakit dan dalam kesusahan”.
Pelajar C :  “Sebab apa ek? Sebab orang cakap jadi doktor nih glamer dan kaya kot”.
Banyak sebab kenapa seseorang tuh nak jadi doktor. Apa-apa pun, sebelum anda memilih untuk menjadi seorang doktor perubatan di Malaysia nih ataupun meminta keluarga anda menjadi doktor, anda kena mengetahui  laluan kerjaya dan kehidupan bergelar seorang doktor di Malaysia. Sebab nak jadi seorang doktor nih memerlukan banyak pengorbanan dalam kehidupan anda dan ianya bermula seawal anda melangkah masuk ke Sekolah@Fakulti Perubatan. Banyak cabaran, tapi memang berbaloi.
Sewaktu kat universiti,
1.      Tak boleh main-main belajar, kena banyak menghafal, banyak memahami, tak banyak masa untuk diri sendiri. (Semua bidang memang kena pulun macam tuh pun kalau nak cemerlang, kan kan kan?kena pandai curi masa untuk diri sendiri la)
2.      Pergi kelas dah tetap dah pukul 8 pagi-5 petang, itupun kalo boleh balik awal. (Kalau yang lain-lain, boleh pilih nak kelas pukul berapa dan boleh atur masa sendiri mengikut jam kredit)
3.      Pakai baju formal setiap hari ke kelas, ini untuk membiasakan diri sebagai seorang pekerja professional. (Kalau yang lain-lain, pakai baju formal ni hanya pada hari-hari tertentu saja)
4.      Kalau ‘pointer’ bawah dari 3.00, dah dikira gagal, kena mengulang balik kertas tu.
5.      Belajar anatomi dengan mayat. (yang nih, kalau bukan sebab memang dia sendiri nak jadi doktor, memang takkan sanggup, hehe)
6.      Waktu sesi klinikal, kita terdedah dengan jangkitan dari pesakit macam TB, HIV, Hep B, C kalau anda tak berhati-hati kat hospital, tak pasal-pasal je kan? (dah banyak kes dah, tapi kebanyakannya jadi sebab nak tunjuk pandai tak mahu ikut prosedur keselamatan yang ditetapkan pihak hospital)

Dah mula bekerja pulak,
1.      Dalam pengawasan selama dua tahun sebagai ‘housemen’, bukan doktor lagi tau tapi pegawai perubatan latihan siswazah gred UD41, waktu tu jadi macam kuli semua orang la. (termasukla doktor yang senior, jururawat, pegawai farmasi, pembantu perubatan, pesakit dan banyak lagi la, jadi bersabor je la)
2.       Untuk ‘housemen’ cuti hanya 2 hari untuk satu bulan (perlu diingat, ini sudah termasuk cuti sakit) dan 25 hari setahun. Kalau lebih dari tuh, maknanya ‘posting’ anda akan dipanjangkan la 3 bulan lagi. Jangan mimpi la nak balik raya bersama keluarga kat rumah ye. (‘housemen’ yang boleh habis tempoh dua tahun latihan tu kira hebat la tak kena ‘extend posting’)
3.      Kalau tiba giliran anda ‘on-call’, bersiap la untuk bekerja 36-48 jam tanpa henti, lepas tu rehat cuti kejap dalam beberapa jam, lepas tuh mula balik kerja anda macam hari-hari kelmarinnya. (terbaru, ada ura-ura sistem ‘on-call’ untuk ‘housemen’  akan digantikan dengan sistem syif, jadi lega la bakal-bakal doktor yang baru)
4.      Kena marah dengan ‘specialist’ @ ‘consultant’ depan semua orang dan dipanggil dengan nama-nama semua binatang tuh dah jadi perkara biasa dalam kehidupan semua ‘housemen’, oleh itu persiapan mental kena kuat la ye, ditambah dengan tak cukup tidur, jawabnya masuk kes psikiatri la anda (buat pengetahuan anda, banyak kes psikiatri di kalangan housemen berlaku kat Malaysia dan tapi tak semua ‘specialist’ garang macam tu la, cuma kebanyakan saja..nasihat saya buat bakal  ‘housemen’, kalu kena marah  tu, biar masuk telinga kiri, keluar telinga kanan, jangan simpan dalam hati)
5.      Betul ke glamer? Setakat ni, memang la orang masih hormat pada doktor, tapi zaman makin berubah, banyak pesakit dah lagi pandai dari doktor dan banyak kes saman doktor meningkat..
6.      Kaya?? Doktor pun cukup-cukup makan je, lebih sikit dari kerja biasa. Kalau memang betul-betul nak jadi kaya, jadi jutawan, sila pilih kerjaya sebagai ahli perniagaan atau peguam la. Memang pasti kaya punya. (macam mana tak kaya, peguam masuk kes, menang ke kalah ke, duit masuk jugak, banyak atau sikit je.. hehe, peguam jangan la saman doktor selalu ye, kesian doktor)
7.      Masa berkualiti dengan keluarga akan dikorbankan sebab sentiasa tidak cukup masa. Anda akan selalu di hospital saja. (nanti kalo anak-anak yang dah jadi doktor tu tak balik rumah waktu raya, jangan la kecik hati ye, memang diorang sibuk)

Tujuan penulis menulis blog ni bukan untuk tidak menggalakkan pembaca menceburi bidang perubatan, tetapi sekadar coretan tentang realiti kehidupan sebagai seorang doktor perubatan. Penulis memang amat suka sekiranya negara Malaysia mempunyai banyak doktor.

“Malaysia dijangka mempunyai lebihan doktor pada tahun 2016 dan dijangka pada tahun tersebut walaupun anda sudah mempunyai ijazah kedoktoran, anda perlu bersaing dengan sejumlah 5 ribu graduan perubatan yang dikeluarkan setahun untuk  ditapis dan ditemuduga bagi mengisi jawatan tersebut di Malaysia. Ini kerana selain graduan keluaran IPTA & IPTS di Malaysia, terdapat graduan perubatan Malaysia yang sedang menuntut di instistusi –institusi di lebih dari 10 negara di luar sana”

Apa-apa pun, renung-renungkan dan selamat beramal..pilihan di tangan anda..

Tuesday, June 21, 2011

Susah jadi wanita..

Kaum feminin cakap “susah jadi wanita”, mereka telah digoda dan diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsunya sendiri, seperti yang kita lihat dialog dibawah, bagaikan mempersoalkan ketentuan Allah terhadap mereka. Dengan kata lain yang agak kasar, Allah berat sebelah pada kaum wanita.
1.     “Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”
2.     “Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”
3.     “Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”
4.     “Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”
5.     Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”
6.     “Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”
7.     “Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”.
Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak samarata antara gender, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan. Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”
Tunggu..! Istighfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Mujur ada seorang lelaki yang bukanlah seorang ustaz namun amat yakin bahawa Allah itu Maha Adil. Dia tidak mampu menuturkan sabda Rasulullah s.a.w dan petikan dari ayat Al-Quran, namun dengan keimanan dan ilmu sedikit yang dia ada diolah untuk menjawab soalan-soalan melampau itu.
1.     “Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan dirumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi dikalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut? Jangankan saya, tapi tok imam akan tercabut serbannya jika tengok awak hanya pakai seluar pendek!”
2.     “Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun di sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”
3.     “Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalo isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”
4.     “Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan, malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!”
5.     “Akhirat nanti, saya dan lelaki lain didunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”
6.     “Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”
7.     “Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya,dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!” “Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?” Lantas, wanita-wanita tadi menangis dan berkata;
“MasyaAllah, demikian sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki!”

Demikianlah dialog wanita-wanita yang curiga itu dengan seorang lelaki biasa namun beriman. Ingat firmanNya, bahawa mereka tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut dan tunduk kepada cara-cara dan peraturan yang dipromosikan dan diperjuangkan itu.
Sebagai Zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukumNya malah peraturanNya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.
Wahai lelaki, jagalah isterimu kerana dia perhiasan, pakaian dan ladangmu, sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan agar kaum lelaki berbuat baik selalu (lembut) terhadap isteri anda sekalian.
Adalah sabda Rasulullah s.a.w bahawa ketika lelaki memiliki dua atau lebih anak perempuan, mampu menjaga dan menjadikannya muslimah yang baik, maka syurga adalah jaminannya.
Berbahagialah wahai para muslimah. Tunaikan dan menegakkan agamamu, nescaya syurga menanti!

Tuesday, June 14, 2011

Al-fatihah

Assalamu’alaikum w.b.t..
Saya mulakan penulisan ‘blog’ ini dengan Ummul Kitab al-Fatihah.
Surah Al-Fatihah (Pembukaan) ini yang mempunyai tujuh ayat diturunkan di Makkah dan diturunkan selepas Surah Al-Muddathir. Surah ini adalah surah yang pertama yang lengkap diturunkan keseluruhan ayat bagi sebuah surah dan termasuk dalam golongan surah Makkiyyah.
Surah ini dinamakan dengan berbagai-bagai nama seperti al-Fatihah, Um al-Kitab, as-Sab’ai al-Masthani dan lain-lain. Imam al-Qurtubi menghitung 12 nama Fatihah, sedangkan al-Alusi menyebut sebahagian ulama mengira sampai dua puluh dua nama, sama ada secara tauqif daripada nabi atau ijtihad para sahabat. Surah ini juga turut dinamakan As-Sab'ul Matsaani yang bermaksud tujuh yang berulang-ulang kerana ayat ini diulang-ulang bagi setiap solat.
 Jika dilihat terjemahannya, Al-Quran adalah imam dan panduan kita.
Dalam ayat suci ini Allah Ta’ala mengajar kita supaya tiap-tiap pekerjaan yang baik hendaklah dimulakan dengan menyebut nama Allah Ta’ala, iaitu dengan membaca, semoga pekerjaan kita itu diberkati Allah Ta’ala dan berjaya. Dengan melakukan yang demikian, bermakna kita berserah bulat-bulat kepada Allah s.w.t sesudah kita berusaha dan berikhtiar.

[1]Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2] Pujian bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3]Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[4] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6]Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Di antara fadhilat surah al-fatihah:
1.     “Sebesar-besar Surah dalam Al-Quran ialah Surah Al-Fatihah”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
2.     Daripada Abdul Malik bin Umar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud “Al-Fatihah adalah menjadi penyembuh semua penyakit”
(Hadis riwayat Al-Daromi)
3.     Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud “Tidak sah sembahyang bagi mereka yang tidak membaca Ummul-Quran Al-Fatihah”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
4.     Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud “Siapa yang sembahyang tidak membaca Fatihah maka tidak sempurnalah sembahnyangnya”
(Hadis riwayat Imam Muslim)

Yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t. , dan yang buruk itu datang dari kelemahan dan kekurangan diri saya sendiri. Wallahu’alam.