Tuesday, June 14, 2011

Al-fatihah

Assalamu’alaikum w.b.t..
Saya mulakan penulisan ‘blog’ ini dengan Ummul Kitab al-Fatihah.
Surah Al-Fatihah (Pembukaan) ini yang mempunyai tujuh ayat diturunkan di Makkah dan diturunkan selepas Surah Al-Muddathir. Surah ini adalah surah yang pertama yang lengkap diturunkan keseluruhan ayat bagi sebuah surah dan termasuk dalam golongan surah Makkiyyah.
Surah ini dinamakan dengan berbagai-bagai nama seperti al-Fatihah, Um al-Kitab, as-Sab’ai al-Masthani dan lain-lain. Imam al-Qurtubi menghitung 12 nama Fatihah, sedangkan al-Alusi menyebut sebahagian ulama mengira sampai dua puluh dua nama, sama ada secara tauqif daripada nabi atau ijtihad para sahabat. Surah ini juga turut dinamakan As-Sab'ul Matsaani yang bermaksud tujuh yang berulang-ulang kerana ayat ini diulang-ulang bagi setiap solat.
 Jika dilihat terjemahannya, Al-Quran adalah imam dan panduan kita.
Dalam ayat suci ini Allah Ta’ala mengajar kita supaya tiap-tiap pekerjaan yang baik hendaklah dimulakan dengan menyebut nama Allah Ta’ala, iaitu dengan membaca, semoga pekerjaan kita itu diberkati Allah Ta’ala dan berjaya. Dengan melakukan yang demikian, bermakna kita berserah bulat-bulat kepada Allah s.w.t sesudah kita berusaha dan berikhtiar.

[1]Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2] Pujian bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3]Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[4] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6]Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Di antara fadhilat surah al-fatihah:
1.     “Sebesar-besar Surah dalam Al-Quran ialah Surah Al-Fatihah”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
2.     Daripada Abdul Malik bin Umar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud “Al-Fatihah adalah menjadi penyembuh semua penyakit”
(Hadis riwayat Al-Daromi)
3.     Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud “Tidak sah sembahyang bagi mereka yang tidak membaca Ummul-Quran Al-Fatihah”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
4.     Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud “Siapa yang sembahyang tidak membaca Fatihah maka tidak sempurnalah sembahnyangnya”
(Hadis riwayat Imam Muslim)

Yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t. , dan yang buruk itu datang dari kelemahan dan kekurangan diri saya sendiri. Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment